Monday, 26 March 2012

Abu Hassan: Pengarah filem syok sendiri

ANITA ABU HASAN & HASLINA KAMALUDIN
26 Mac 2012
Prof Madya Dr Abu Hassan
Buhohan
SEGELINTIR pengarah nampaknya berkhayal atau syok sendiri ketika menghasilkan sesebuah filem dari aliran seni.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, tanggapan seumpama itu boleh dilihat menerusi beberapa penghasilan filem sedemikian di negara ini kabur dan bercelaru atau boleh dikatakan carca marba.

Menurutnya, filem terbaru Bunohan misalnya di mana karya Dain Said itu yang lemah dramaturgi atau pada jalan cerita telah membuatkan karya tersebut tidak diterima masyarakat.

“Saya sanggup kata Bunohan adalah hasil seorang pengarah amatur berikutan ia penuh kekeliruan.

“Cerita di dalam filem itu jika dibandingkan dengan filem Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali (1984) sangat jauh, betapa lemahnya Bunohan.

“Apatah lagi untuk dibandingkan dengan filem Semerah Padi dan Sumpah Orang Minyak arahan Tan Sri P Ramlee serta Hang Jebat arahan Hussien Haniff,” ujarnya.

Menurutnya, supaya umum lebih jelas, beliau mengambil perbandingan­ antara filem Melayu klasik berkenaan dan Bunohan.

Baginya, Bunohan sebuah contoh karya yang disumbat dengan banyak perspektif hingga tidak difahami apa yang hendak ditawarkan apatah lagi untuk difahami.

Beliau berpendapat supaya mencontohi pengarahan P Ramlee yang berjaya menghidupkan Semerah Padi sebagai sebuah realiti kehidupan kerana perspektifnya adalah jelas.

“Kita contoh dalam babak ketika watak Aduka dan Dara berada dalam sebuah rumah. Itu dari perspektif Taruna iaitu tunang kepada Dara. Taruna yang bercerita dan sebab itulah yang disebat itu Aduka dan Dara. Bermaksud Taruna yang intai semua pergerakan mereka.

“Sementara Sumpah Orang Minyak dari satu perspektif iaitu si Bongkok yang cacat dan dihina masyarakat hingga akhirnya merajuk.

“Sama juga dengan filem Hang Jebat yang diadaptasi daripada teks Hang Tuah di mana ia mengangkat Hang Jebat yang merajuk hingga mengamuk kerana sistem (pemerintahan). Namun, apa yang ditawarkan Bunohan?”

Abu Hassan berkata, sehubungan itu ketiga-tiga filem Melayu lama berkenaan menjadi naskah hebat yang diterima masyarakat sejak dahulu hingga abad ini. Sebaliknya pengarah Bunohan menghasilkan filem atas keinginan sendiri tanpa sebuah proses menerbitkan filem yang betul.

Katanya, perlu diingat bahawa membaca filem bukan dari gambarnya sahaja tetapi luarannya adalah penting sama ada soal antropologi, sosiologi, psikologi mahupun georgrafinya, bukan carca marba.

Namun katanya, itu yang dikesan dalam filem kita, antaranya banyak perspektif, sinematografi cantik tetapi kosong, skrip yang sukar difahami malah lebih lemah apabila tidak disokong oleh elemen visual sedemikian.

“Kalau filem komersial mengabaikan ini, kita boleh beri alasan kerana ia filem murahan yang tidak perlu ditangani secara akademik. Bagi penonton, jika hendak jadi naskah sempurna maka harus jadi naskah sempurna. Sebaliknya jika hendak jadi naskah murah maka cukup untuk jadi naskah murahan.

“Jadi kita pun kata, kenapa orang tengok filem Hantu Bonceng dan Sembilu. Masyarakat mungkin kata, itu sudah memang filem murahan dan mereka sememangnya hanya mahu berhibur. Apa pula faedahnya menonton filem seni sekiranya tidak luar biasa seperti difikirkan,” ujarnya.

Abu Hassan berkata, sehubungan itu jawapan mengapa filem seni tidak laku, ialah kerana naskah itu sendiri yang lemah hingga ditolak oleh masya­rakat. Bukan masalah polemik antara filem komersial dan seni.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa penonton bijak apabila mereka menonton filem Godfather. Mengapa mereka tonton filem Hindi, Dil To Pagal Hai yang juga berat tetapi pada waktu sama tonton Kuch Kuch Hota Hai, sebuah teks yang sangat ringan.

“Kenapa penonton tengok filem Hantu Bonceng dan tidak mahu tengok­ Bunohan. Mesti ada masalah pada Bunohan kerana penonton yang pergi ke pawagam adalah sama.

“Kita tidak boleh menuduh masyarakat atau menyebelahi mana-mana pihak. Oleh kerana itulah, sutradara tidak boleh berkhayal mengarah karya untuk diri sendiri dengan mengatakan ‘aku bebas’ berkarya,” tambah Abu Hassan.

Katanya, filem yang dibikin dengan pengarahnya berkhayal hanya patut atau layak ditayang di pawagam milik pengarah itu sendiri bukan peringkat umum kerana jika hendak tayang kepada umum, karya seni mestilah suatu karya ajaib yang boleh diterima sebagai naskah luar biasa.

“Sebab itu orang ramai menonton Matinya Seorang Patriot dan tidak menolak filem Azura yang juga sebuah teks berat. Orang tidak tolak lakonan Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) dan juga filem Abang serta Tsu Feh Sofiah (arahan Datuk Rahim Razali, 1981).

“Namun orang menolak Azura 2012. Mesti ada persoalan. Masalah sekarang ialah, kita tidak faham masyarakat terlalu banyak menonton karya yang diterbitkan di pawagam, televisyen, satelit dan Youtube.

“Mereka telah menonton pelbagai filem seni dan komersial pelik tetapi puas. Oleh kerana itu, didapati tidak semua filem komersial juga berjaya,” ujarnya.

Menurutnya, filem komersial seperti Kembar Siam dan Karipap- Karipap Cinta yang menerima nasib seperti Bunohan menandakan, sudah ada parameter dalam kalangan masyarakat.

“Kenapa mereka tengok Hantu Bonceng. Saya tidak fikir kerana Zizan (pelakon) tetapi mereka percaya itulah filem komersial yang puas. Mungkin penonton tidak tengok Bunohan bukan kerana menentang sebuah karya baik tetapi mungkin penonton lebih awal memberitahu bahawa karya yang baik ini sebenarnya mempunyai masalah yang tidak sepatutnya. Jadi, kita mesti tengok situasi itu,” tegas Abu Hassan.

“Orang ramai hendak filem yang baik, yang mengangkat antropolgi, sejarah atau sosiologi bangsa dalam sebuah bentuk dramaturgi cerita yang sempurna sebagaimana filem Hang Jebat , Semerah Padi, Sumpah Orang Minyak, Abang dan Matinya Seorang Patriot.

“Orang hendak macam itu. Bagi masyarakat, lebih baik buat filem komersial sekiranya tidak sampai ke peringkat ini kerana setidak-tidaknya tidak menyakitkan hati,” katanya.

No comments:

Post a Comment